Saturday, August 14, 2010

Langkah Menjaga Alam Sekitar

ALAM SEKITAR





      Apakah yang dimaksudkan dengan alam sekitar? Alam sekitar adalah segala benda hidup dan bukan hidup yang dimana wujud secara semula jadi di permukaan bumi ini. Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu alam sekitar semakin menjadi, contohnya pemusnahan hutan, kesan rumah hijau dan isu-isu lain seperti yang dipaparkan di surat khabar atau televisyen telah menyebabkan keseimbangan ekosistem di permukaan bumi ini terganggu. Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Dengan adanya alam sekitar yang tidak tercemar maka kehidupan manusia akan selesa dan menyamankan.

Pada masa sekarang kita sering diberi pilihan sama ada kita mahu mengekalkan flora(tumbuh –tumbuhan) dan fauna (hidupan binatang) ataupun tidak langsung dengan menikmati penambahan kemudahan infrastruktur. Bagi kebanyakannya sering mengalah kepada tuntutan pemodenan dan kemajuan negara. Kita mengorbankan alam sekitar di sekeliling kita bagi memneri laluan kepada pembangunan. Implikasinya seperti yang kita lihat sekarang, banyak spesies flora dan fauna telah pupus dan telah menyebabkan ramai generasi muda sekarang sudah tidak dapat mengenali spesis-spesis yang telah pupus itu.


Tambahan lagi, teknologi yang semakin canggih dalam menghasilkan pelbagai produk juga menyebabkan semakin banyak berlakunya pencemaran. Secara tidak langsung, alam sekitar menjadi mangsa baik di udara, laut ataupun di darat. Langkah-langkah haruslah diambil untuk memulihkan alam sekitar daripada pencemaran. Bagi mengurangkan isu-isu alam sekitar, semua masyarakat perlu bertindak secara bersama untuk memperbaiki alam sekitar kita yang semakin terjejas ini. Kita perlu mencari langkah-langkah yang berkesan untuk mengatasinya supaya dapat meningkatkan  kesedaran kepada masyarakat untuk menyayangi alam sekitar. Langkah-langkah tersebut dapat mendorong orang ramai supaya peka terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu, memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak yang sedang membesar tentang kepentingan alam sekitar adalah perlu untuk mendidik mereka supaya prihatin terhadap alam sekitar. Bak peribahasa berkata “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Oleh itu adalah penting untuk ibu bapa sebagai insane yang paling rapat dengan anak-anak memberi pendidikan awal dalam mendidik mereka supaya prihatin terhadap alam sekitar. Kanak –kanak yang sedang membesar perlu dilatih supaya menguasai nilai-nilai murni dalam dirinya. Ini kerana dengan adanya nilai-nilai murni ini, secara semula jadi ia akan memberi kesedaran pada seseorang tanpa dipesan dan diberitahu. Contoh salah satu aktiviti yang boleh diberi kepada kanak-kanak ialah mewarna lukisan alam sekitar dan menerangkan kepada mereka bahawa kepentingan alam sekitar terhadap kehidupan manusia.
Di samping itu, guru -guru di sekolah juga perlu memainkan peranan dan menjadi contoh yang baik kepada pelajar. Guru–guru perlu menanamkan sikap prihatin terhadap alam sekitar supaya menjadi rujukan kepada pelajar. Selain itu, guru–guru perlu bertanggungjawab untuk memberi ilmu pengetahuan tentang alam sekitar kepada pelajar supaya generasi itu peka dan bertanggungjawab terhadap isu–isu alam sekitar. Contohnya aktiviti yang boleh diberikan kepada pelajar ialah menanam pokok–pokok supaya pelajar mempunyai perasaan cintakan alam sekitar.

 Media massa juga perlu memainkan peranan dalam memelihara alam sekitar. Contohnya media massa boleh menyiarkan cara–cara untuk melindungi alam sekitar ataupun kesan–kesan jika manusia tidak memelihara alam semula jadi. Artis boleh menjadi model untuk mempromosikan iklan–iklan menyayangi alam sekitar. Masyarakat lebih minat untuk mengikutinya kerana mereka merupakan golongan yang sentiasa mendapat perhatian. Antara iklan yang boleh dipaparkan adalah menaiki kereta bersama-sama apabila ingin pergi lokasi yang sama kerana ini dapat membantu mengelakkan pencemaran udara dan menjimatkan petrol.




Selain itu, syarikat perindustrian juga perlu bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Syarikat perlu mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Syarikat perindustrian perlu mengamalkan etika-etika yang betul untuk mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar. Syarikat tidak harus memikirkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar.

Langkah yang seterusnya adalah kita sebagai individu perlulah memainkan peranan sendiri. Tiga sikap yang harus diamalkan adalah menggunakan semula barang-barang yang boleh diproses semula dan mengurangkan penggunaan barang-barang yang tidak diperlukan. Sikap-sikap sebegini dapat mengurangkan pencemaran pada alam sekitar. Tidak lupa, sikap kesedaran pada diri sendiri harus ada untuk mengelakkan dari dunia terus dicemar.


Kesimpulannya, apabila kita menyayangi alam sekitar kita akan mempunyai alam sekitar yang selesa dan bersih manakala kesihatan manusia akan terjamin. Selain itu, negara yang cantik dengan pembekalan udara yang segar akan menarik perhatian pelancong asing. Di samping itu, bumi kita akan mempunyai ekosistem yang stabil, maka habitat hidupan darat dan air terpelihara dan juga dapat mengelakkan kepupusan.

Disediakan oleh Marasy a/p Bun Loot (207388)

2 comments:

t&q
 
best
 

Post a Comment